Searching...
Saturday, 20 September 2014
23:38 0

MH17: INILAH UNCLE JO YANG BANYAK MEMBANTU KELUARGA ALLAHYARHAM ALI DAN WARGA NEGARA MALAYSIA DI BELANDA

Mohd Yusof Ismail yang lebih mesra dipanggil Uncle Jo ketika ditemui di kediamannya di Rotterdam. Foto FAREEZ FADZIL.
Memiliki iras Junichiro Koizumi, bekas Perdana Menteri Jepun menyebabkan saya memandang lama wajah lelaki ini ketika kali pertama bertemu.
Berasal dari Stulang, Johor Bahru, Mohd Yusof Ismail, 76, bukan seorang tokoh terkenal tetapi sekadar seorang individu biasa.
Namun boleh saja dirumuskan beliau merupakan insan terpenting dalam kalangan penuntut dan warga Malaysia di Belanda.
Cukup popular dengan panggilan Uncle Jo, lelaki ini umpama 'bapa' buat penuntut-penuntut Malaysia yang jauh dari sisi keluarga.
Ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di J. H. van den Broekstraat, Rotterdam, Uncle Jo yang mudah mesra memberitahu, pintu rumahnya sentiasa terbuka kepada penuntut dan warga Malaysia.
Pesara itu berkata, tugasnya yang mengenal pasti kehadiran warga Malaysia di Belanda, sama ada penuntut atau yang bekerja di negara yang terkenal dengan bunga tulip itu menyebabkan beliau cukup dikenali.
Allahyarham Mohd Ali Md Salim, penuntut Malaysia di Rotterdam yang terlibat dalam tragedi nahas MH17 juga menyewa sebuah bilik di kediaman Uncle Jo. 
Malah, beliau turut mengakui kenal dengan kebanyakan anak Malaysia di sana.

Meninggalkan Malaysia lebih 50 tahun lalu, Uncle Jo berkata, kehadiran penuntut dan warga Malaysia memberi kegembiraan dan keceriaannya kepadanya yang tinggal seorang diri di Rotterdam setelah kematian isterinya, seorang warga negara Jerman manakala anak lelakinya pula menetap di London.
Uncle Jo berkata, beliau meninggalkan Malaysia ketika menuntut ilmu di United Kingdom tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk terus bekerja di luar negara setelah terpengaruh dengan kawan-kawan.
"Saya tidak ada matlamat apa-apa pada awalnya, hanya ikut kawan-kawan. Lama-kelamaan rasa seronok dan terus tinggal di luar negara.
"Saya berhijrah di beberapa negara semasa bekerja sebelum mengambil keputusan untuk terus menetap di Rotterdam," ceritanya.
Uncle Jo memberitahu, beliau bukan tidak suka tinggal di Malaysia tetapi sudah terbiasa dengan kehidupan di Eropah. "Jujurnya saya selesa dengan infrastuktur, sistem pentadbiran dan insentif yang ditawarkan di Eropah.

"Walaupun menetap di sini, saya masih warganegara Malaysia dan akan balik ke Malaysia setiap tahun jika ada kelapangan untuk menziarahi keluarga di Johor, Ipoh dan Kuala Lumpur," ujarnya yang masih fasih berbahasa Melayu.




Katanya, beliau memilih untuk menetap di Rotterdam kerana kawasan ini lebih tenang, selain turut memiliki populasi masyarakat Islam yang ramai.
Uncle Jo berkata, ramai warga Malaysia yang berhijrah sepertinya mempunyai pendirian yang hampir sama atas faktor keselesaan, selain sudah membuat pelaburan dalam memiliki harta dan kediaman serta sudah menjiwai gaya hidup di luar negara.
Ditanya sama ada akan pulang ke Malaysia, Uncle Jo yang menggeleng kepala sambil berkata:
"Sama sahaja di Malaysia atau di sini, yang penting anda selesa dan hati gembira". Meskipun lama di negara orang, Uncle Jo mengakui, tekaknya masih Malaysia kerana cukup gemar minum teh tarik makan nasi lemak, mee rebus, nasi goreng cuma tidak betah lagi dengan makanan pedas.
Kediaman Uncle Jo yang sering menjadi tempat penuntut dan rakyat Malaysia di Belanda berkumpul. Foto FAREEZ FADZIL.
Uncle Jo berkata, kediamannya yang terletak di bandar Rotterdam tidak pernah sunyi, sering dijadikan 'port' penuntut-penuntut Malaysia terutama pada hujung minggu, memeriahkan kehidupan hari-harinya.
Katanya, sudah menjadi kebiasaannya menerima kehadiran para penuntut Malaysia pada hujung minggu untuk berkumpul, memasak, makan dan berjalan bersama-sama.
"Tidak kira hujung minggu atau hari biasa pasti ada yang berkunjung ke sini. Saya selalu dikunjungi warga Malaysia yang bekerja di syarikat Malaysia tetapi beroperasi di sini. Orang Petronas, dari Sime Darby, kedutaan.
"Paling seronok semasa bulan puasa kerana ramai rakyat Malaysia akan menghantar juadah di rumah saya.
"Kalau hari Jumaat dan Sabtu lagi meriah, ramai penuntut datang berkumpul beramai-ramai. Mereka akan masak macam-macam, buat barbeku, buat air batu campur dan macam-macam lagi.
"Sebab itu semua barangan keperluan untuk masak lengkap di rumah ini," tambahnya sambil menunjukkan mesin pengisar air batu di hujung dapurnya. - malaysiagazette

0 comments:

Post a Comment