Searching...
Wednesday, 1 October 2014
23:29 0

UPSR: WARGA PENDIDIK PERLU BERFIKIRAN POSITIF, JADIKAN IKTIBAR

Penglibatan beberapa orang guru dalam kes kebocoran itu ternyata mencemarkan imej dan profesion perguruan sekaligus memberi kesan kepada warga pendidik yang sebelum ini disanjung tinggi, sehingga menerima kecaman daripada pelbagai pihak.
Wajarkah golongan pendidik terus dipersalahkan?
INTEGRITI GURU TERCABAR
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Marzuki
Wan Jaafar berkata meskipun kes kebocoran soalan itu memberi kesan terhadap profesion perguruan dan integriti guru, warga pendidik tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.
Menegaskan pihak terbabit mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, beliau berkata sistem pengurusan peperiksaan harus diteliti semula dan perlu ditambah baik bagi mengelakkan perkara seumpamanya berulang.
“Impak yang besar adalah kepada murid-murid. Guru-guru yang terkesan dalam hal ini perlu membantu diri mereka supaya berfikiran lebih positif.
“Sesuatu yang berlaku itu mungkin ada hikmahnya,” katanya kepada Bernama.
Berikutan kebocoran berkenaan, peperiksaan ulangan UPSR bagi dua mata pelajaran yang bocor iaitu Sains dan Bahasa Inggeris diadakan Selasa. Dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Bahasa Tamil yang turut bocor ditetapkan pada 9 Okt.
TIDAK BOCOR
Profesor pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Sidek Baba berkata kajian semula prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan awam perlu dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan negara.
“Kes soalan bocor UPSR ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kawalan lebih ketat terutamanya dalam pengendalian dan pengedaran kertas-kertas dilakukan. Kita tidak tahu mungkin ada pihak tertentu yang cuba untuk mensabotaj atau wujud sindiket yang sengaja mencabar sistem pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya terus menghukum golongan pendidik hanya kerana segelintir individu bertindak di luar batasan tanpa memikirkan tanggungjawab mereka sebagai guru.
Sidek berkata meskipun terkilan dengan kes kebocoran yang pertama kali berlaku dalam sejarah UPSR, ibu bapa perlu sedar kejayaan melahirkan anak murid cemerlang adalah hasil didikan mereka yang bergelar guru.
“Bukannya masalah ini dilakukan oleh semua guru di Malaysia, jadi janganlah terus mencemuh mereka yang berbakti kepada negara,” katanya.
KERENAH IBU BAPA
Sementara itu, seorang guru Noor Zariah Yusof meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir ibu bapa yang mahu melihat kecemerlangan anak-anak mereka dalam pelajaran namun menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada guru tanpa memantau perkembangan akademik anak-anak di rumah.
Beliau berkata guru hari ini berhadapan dengan kerenah serta pemikiran pelajar, dan guru bukan setakat masuk kelas untuk mengajar sahaja tetapi perlu memberi latihan dan penilaian pelajar.
“Jika kita lihat persepsi masyarakat terhadap profesion guru sangat sinis misalnya kerjaya seorang cikgu ini bergaji mahal, kerja separuh hari serta senang cuti.
“Hakikatnya kerja guru bukan satu pekerjaan mudah seperti diwar-warkan. Ia berbeza antara guru dahulu dengan guru masa kini kerana terikat dengan sistem pendidikan yang mementingkan kualiti daripada kuantiti,” katanya yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di Kelantan.
Noor Zariah berkata dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi moden sememangnya membuatkan seseorang guru itu tidak dapat lari daripada cabaran yang semakin hebat.
“Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek agar menjadi rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan,” katanya.
PERSEPSI MASYARAKAT
Bagi guru pendidikan khas, Sri Ratna Rahayu Nordin berkata cabaran utama guru hari ini ialah apabila masyarakat terus menyalahkan warga pendidik tanpa mengambil kira perasaan golongan itu yang mencurah bakti kepada anak bangsa.
“Ingat kunci ilmu iaitu beradab kepada guru, maka majoriti akan lebih beradab dengan semua orang. Ilmu yang diperoleh akan diberkati dan paling utama beradab kepada kedua ibu bapa dahulu. Ia bermula dengan pendidikan di rumah,” katanya.
Mereka yang bergelar guru perlu terus amanah dan bertanggungjwab serta ikhlas mendidik anak bangsa melalui komunikasi berkesan kerana dengan menerapkan nilai seperti itu masyarakat akan lebih menghormati profesion perguruan, katanya.
“Sebagai seorang guru, memang agak sedih apabila membaca komen-komen orang ramai di laman sosial seperti Facebook…banyak yang mempertikaikan kerjaya guru tetapi kami guru tidak akan berhenti mendidik selagi khidmat kami diperlukan,” katanya.
GURU TERLATIH
Seorang bakal guru Mohd Fathul Khair Mohd Dahlan, 23, berkata majoriti guru kini diberikan kursus-kursus yang berkaitan dengan profesion perguruan seperti latihan dalam perkhidmatan (LADAP), kursus asas-asas kepimpinan dan sebagainya.
Beliau berpendapat isu kredibiliti guru timbul berikutan ketidakpercayaan masyarakat terhadap pengajaran guru di dalam kelas malah ada di kalangan ibu bapa lebih mempercayai guru-guru tuisyen yang dibayar mahal berbanding guru di sekolah.
“Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di dalam kelas sepatutnya dikendalikan sepenuhnya oleh guru tanpa ada sebarang campur tangan daripada orang luar,” katanya.
Mohd Fathul berkata dengan mempersiapsiagakan diri daripada segi mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hari ini akan membolehkan seorang guru itu menangani setiap masalah secara rasional. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment