Searching...
Thursday, 28 August 2014
15:55 0

Video Buli Berebut Teman Wanita: Polis Tahan Empat pelajar di Muar.


MUAR 28 Ogos - Empat pelajar sebuah sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan terhadap video pukul dan buli seorang remaja lelaki di tepi kebun kelapa sawit, Air Hitam, Bakri, dekat sini yang menjadi viral di media sosial.

Kesemua pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing semalam, selepas polis menerima dua aduan berhubung kejadian tersebut.
Mereka kini direman sehingga 1 September ini bagi membantu siasatan kejadian itu yang dikatakan akibat daripada berebut teman wanita.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa yang berumur 15 tahun ditendang pada kepala dan badan oleh dua remaja berkenaan.



"Salah seorang remaja tersebut kemudian cuba memukul mangsa dengan sebatang kayu tetapi dapat ditepis oleh mangsa. Kejadian disaksikan dan dirakam rakan-rakan remaja terbabit dengan menggunakan telefon bimbit.

"Video berkenaan tersebar dan dikongsi rakan sekolah yang lain sebelum dimuat naik di YouTube dan kemudian menjadi viral di media sosial," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.



Azman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 5 petang, 14 Ogos lalu apabila suspek menghubungi mangsa untuk berjumpa di kawasan berkenaan.
Katanya, apabila mangsa sampai suspek terus menolak mangsa sehingga terduduk sebelum dipukul.

"Selepas kejadian tersebut berlaku, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa pada Isnin lalu diikuti satu lagi laporan dua hari selepas itu. Empat remaja termasuk suspek utama ditahan dan pihaknya turut merampas sebatang kayu berukuran kira-kira satu meter dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 1 September ini dan pihaknya juga sedang mengenal pasti suspek lain yang terlibat dalam pergaduhan tersebut," katanya.- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment