Keluarga pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS); Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang terkorban dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine bersyukur apabila dimaklumkan bahawa jenazah anaknya ‘cukup sifat’ dan dalam keadaan sempurna.
Memetik laporan laman web Harian Metro, keadaan jenazah Allahyarham Ahmad Hakimi dimaklumkan oleh petugas yang menguruskan jenazah kepada ibunya Noriah Daud, 57, yang berada di Amsterdam, Belanda.
“Anak awak cukup sifat,” itulah kata-kata yang diberikan oleh petugas yang menguruskan jenazah mangsa nahas pesawat itu.
Perkara itu dimaklumkan kepada nenek Allahyarham Zaleha Bawal Khan, 73,. Selain itu, dimaklumkan juga semua urusan memandikan dan mengkafankan jenazah cucunya itu berjalan lancar.
“Dia memberitahu ayat pertama diberitahu petugas kepada mereka di Amsterdam, Ahmad Hakimi cukup sifat. Kami bersyukur mendengarnya.
“Cuma dia ada memberitahu tidak sempat menatap wajah arwah kerana sudah dikafankan, namun tidak terkilan kerana bimbang jika melihat jasad anaknya, dia akan menjadi lebih sedih,” katanya dalam laporan berkenaan di kediamannya di Kedai Melor, Kota Bharu, Kelantan.
Pesawat MH17 yang membawa 298 orang penumpang pada 17 Julai lepas terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine di Grobovo berhampiran sempadan Russia.
Kesemua penumpang dan anak kapal terbunuh dalam nahas berkenaan. – Mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment